|
Written by Administrator
|
|
Thursday, 21 February 2008 |
|
Bidang endokrinologi merupakan satu bidang perubatan yang amat luas yang merangkumi segenap bidang perubatan. Ini disebabkan oleh hormon yang mempengaruhi fungsi homeostasis kebanyakan sistem tubuh. Makmal Endokrin telah wujud di Hospital Universiti Sains Malaysia seawal tahun 1985 dan berkembang dengan kadar yang agak pesat di bawah kelolaan Y Bhg Profesor Dato’ Mustaffa Embong pada awalnya sehingga diambil alih oleh Y Bhg Profesor Dato’ Wan Mohamad b. Wan Bebakar sehingga kini. Makmal ini mampu memberikan perkhidmatan penyukatan aras hormon secara immunoassai kebanyakan hormon manusia. Kerjasama yang erat telah dijalankan di antara makmal ini dengan jabatan O & G seperti dalam bidang kemandulan (‘infertility’) dan jabatan Pediatrik dalam bidang kesihatan bayi di mana program saringan bagi penyakit kongenital hipotiroidisme dalam kalangan bayi yang dilahirkan di hospital USM telah dimulakan sejak tahun 2003. Kearah pencapaian sebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang cemerlang bertaraf antarabangsa, makmal juga secara berterusan sentiasa bergiat mengambil bahagian dalam menjalankan penyelidikan sama ada dalam kalangan kakitangan universiti melalui geran-geran penyelidikan yang disediakan mahupun penyelidikan bersama syarikat-syarikat luar. Makmal juga terlibat dalam pengajaran amali yang diberikan kepada pelajar-pelajar perubatan USM dan pelajar-pelajar IPTA lain yang ditempatkan di makmal secara berkala. Segala ujian yang dilakukan oleh makmal ini adalah dengan menggunakan bahan-bahan siap pakai yang dibeli dari syarikat-syarikat pembekal tempatan yang menjadi agen kepada firma-firma antarabangsa. Disamping memberi perkhidmatan diagnostik kepada doktor yang menjalankan rawatan pesakit-pesakit di klinik-klinik dan wad-wad HUSM, makmal juga ada menerima permintaan dari luar bagi menjalankan ujian-ujian endokrin, tetapi tidak semua dapat diberi layanan kerana kekurangan perbelanjaan. Makmal juga ada perancangan untuk mengkomersialkan perkhidmatan sedia ada bagi menambah sumber kewangan pada makmal ini khasnya dan jabatan amnya. |
|
Last Updated ( Thursday, 21 February 2008 )
|