Title : Sains & Teknologi: Universiti pertama tawar pengajian sains forensik
News : PUSAT Perubatan Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian adalah universiti pertama di negara ini yang menawarkan pengajian dalam bidang sains forensik.
Kumpulan pertama seramai 24 pelajar bidang berkenaan memulakan sesi akademik pada pertengahan 2000 dan dijangka menamatkan pengajian tahun ini.
Pengerusi Program Forensik PPUSM, Prof Madya Dr Norazmi Mohd Nor berkata, pendekatan pelbagai disiplin yang dijalankan membolehkan pelajar mendalami pelbagai bidang berkaitan sains forensik.
“Menerusi pendekatan ini, graduan boleh berkhidmat di pelbagai agensi seperti polis, bomba dan jabatan kimia kerana sepanjang pengajian didedahkan kepada subjek sains forensik secara menyeluruh.
“Kami mahu graduan program ini berupaya memberi sumbangan terbaik kepada perkembangan sains forensik di negara ini dan terus menimba ilmu menerusi pengalaman yang dilalui,” katanya.
Untuk memastikan matlamat itu dicapai, Dr Norazmi berkata, kerjasama pelbagai pihak diperoleh terutama dari segi penyediaan tenaga pengajar, termasuk dari Pusat Pengajian Sains Perubatan dan Pergigian serta Sains Kesihatan.
Beliau berkata, pihaknya juga mendapatkan maklum balas dan pandangan pakar sains forensik dari luar negara setiap tahun mengenai program berkenaan.
“Setakat ini, beberapa pakar yang berkunjung ke PPUSM Kubang Kerian berpuas hati dengan program yang dijalankan dan menganggap ia antara yang terbaik di dunia,” katanya.