Send Your Feedback to Webmaster health Campus Web-mail Google Search Search Staff Health Campus Go to Our Departments home to medic
e_Warga

NEWS RELEASE -->> Back


Title : Air kelapa muda untuk ahli sukan
News : Oleh Zalina Yahaya
(Wartawan Utusan)
SEKUMPULAN saintis dari Unit Sains Sukan, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian, Kelantan baru-baru ini berjaya membuktikan air kelapa muda segar berusia 184-253 hari dari jenis `Malayan Tall' mampu menjadi salah satu alternatif terbaik untuk berfungsi sebagai minuman sukan.

Kelapa Malayan Tall itu adalah kelapa tempatan (hijau) yang biasa digunakan untuk masakan harian.

Melalui kajian kumpulan penyelidik yang diketuai oleh Prof. Rabindarjeet Singh, air kelapa muda yang selama ini dianggap boleh menyebabkan sakit urat dan lenguh, didapati mempunyai ciri-ciri kandungan yang seakan-akan sama dengan minuman sukan.

Persamaan itu adalah daripada segi kandungan karbohidrat dan unsur surih iaitu sodium dan potasium.

``Keistimewaan air kelapa adalah kerana kandungan potasiumnya yang tinggi.

``Kehadiran potasium dapat membantu simpanan isipadu darah berlaku dengan cepat,'' katanya ketika ditemui di Kubang Kerian baru-baru ini.

Selain itu tambahnya, air kelapa muda juga didapati tidak memberikan kesan loya atau kembung perut walaupun pengambilannya dalam kuantiti yang banyak.

Bagi atlet yang mengambil minuman sukan katanya, mereka tetap mengalami kesan loya dan kembung perut walaupun minuman tersebut telah dikeluarkan gasnya.

Menurut Rabindarjeet lagi, kebanyakan minuman sukan yang terdapat di pasaran kini digunakan semasa atau selepas senaman.

Minuman sukan yang unggul katanya, mengandungi karbohidrat (6-10 peratus) dan unsur surih seperti sodium dan potasium.

Ciri-ciri ini membolehkan proses rehidrasi dapat disempurnakan dengan lebih berkesan.

Mengulas lanjut, Rabindarjeet berkata, kehadiran glukosa sebagai sumber karbohidrat dalam air kelapa adalah penting bagi mengganti sumber tenaga yang hilang semasa senaman.

``Peranan karbohidrat adalah penting sebagai sumber tenaga kepada badan yang keletihan selepas penat menjalankan aktiviti sukan,'' katanya.

Sodium pula jelasnya, penting untuk mempercepatkan penyerapan air serta karbohidrat terus ke dalam badan.

``Malahan kandungan sodium dan potasium dapat mengembalikan pemulihan dihidrasi luar dan dalam sel dengan lebih cepat,'' jelasnya.

Sehingga kini, selain minuman sukan, air kosong sering digunakan untuk menghilangkan dahaga semasa dan selepas aktiviti sukan.

Bagaimanapun kajian telah membuktikan, pengambilan air kosong bukanlah minuman terbaik untuk mengatasi masalah dihidrasi.

Air kosong menyebabkan buah pinggang bertindak terlalu awal untuk menghasilkan air kencing justeru menyebabkan badan akan kehilangan banyak air.

Ia juga tidak dapat menggantikan tenaga yang hilang semasa senaman.

Menurut Rabindarjeet, kumpulan penyelidiknya yang terdiri daripada Mohamed Saat Ismail, Prof. Madya R.G. Sirisinghe dan Mohd. Nawawi kini akan meneruskan kajian lanjut bagi meningkatkan kandungan sodium dalam air kelapa muda tersebut supaya menyamai minuman sukan komersial tanpa menjejaskan rasanya.

``Kami mengharapkan melalui kajian seterusnya dapat membuktikan air kelapa muda menjadi pilihan terbaik bagi minuman sukan dan dapat dikomersialkan suatu hari nanti,'' katanya.

Kajian ini akan bermula Mei ini dan dijangka siap pada November depan.

Harga yang lebih murah dan kajian yang saintifik ini membuka potensi untuk air kelapa muda sebagai salah satu pilihan menggantikan cecair badan yang hilang semasa dan selepas senaman.

Mengenai tanggapan selama ini mengatakan air kelapa akan menyebabkan lenguh dan sakit urat, Rabindarjeet berkata:

``Itu hanyalah anggapan masyarakat selama ini dan tidak pernah ada bukti-bukti saintifik.''

Penyelidikan awal ini telah memenangi anugerah abstrak terbaik pada Persidangan ke-16 Persatuan Farmakologi dan Fisiologi Malaysia dan Anugerah Merit pada Persidangan Pertama Kongres Saintifik Mengenai Nutrisi dan Pencapaian Atlet di Kanada.
Source : http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2002&dt=0504&pub=utusan_malaysia&sec=rencana&pg=re_06.
Date Source: 04/05/2002
medic Website

© 2002 - 2003 The School of Medical Sciences
Health Campus
16150 Kubang Kerian, Kelantan. Malaysia
|| Tel: 609 766 3000 || Fax: 609 765 3370 ||